Tumpuan :
Nasional

Limpahan air Sungai Batang Rajang: 3 sekeluarga terperangkap dalam kereta

Pasangan suami isteri bersama bayi mereka diselamatkan anggota bomba selepas kenderaan terperangkap banjir di Kanowit, hari ini. – FOTO: JBPM

KUCHING: Sepasang suami isteri bersama bayi mereka berusia empat bulan cemas apabila kenderaan mereka terperangkap dan gagal melepasi banjir ketika meredah Jalan Lukut – Penyulau di Kanowit, Sibu, yang dinaiki air awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 6.15 pagi dan dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit diarah ke lokasi yang terletak 30 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi kejadian pada jam 6.50 pagi, sebuah kenderaan dilihat terperangkap dalam banjir dan anggota bomba kemudian meredah air sedalam 1.5 meter sejauh 130 meter bagi menyelamatkan tiga mangsa iaitu Mohd Syaiful Ibrahim, 41, isterinya, Suria Rosli, 29, serta bayi mereka, Aliana Afisya.

“Kejadian berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari Sibu ke Kanowit untuk menghantar sayur ke pasar,” katanya.

Difahamkan, ketika meredah banjir, kenderaan mereka terhenti dan kemudian enjin gagal dihidupkan.

Banjir yang melanda kawasan rendah sepanjang tebing Sungai Batang Rajang hari ini berlaku akibat limpahan air sungai itu apabila berlaku pertembungan air pasang besar dengan hujan lebat di hulu sungai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini