comscore
Tumpuan :
Nasional

Lindungi aktiviti haram: Pengarah agensi penguat kuasa direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang pengarah agensi penguatkuasaan negeri antara tiga individu ditahan reman kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti kemasukan barangan berharga melalui pintu masuk laut negara tanpa perlu pengisytiharan atau kebenaran pihak berkuasa.

Perintah reman selama tiga hari sehingga esok telah dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Farhana Mohd Najib ke atas kesemua suspek selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 50-an disyaki menerima suapan berjumlah kira-kira RM100,000 secara tunai pada 23 Mac lalu di Shah Alam, Selangor bagi melindungi aktiviti yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

“Hasil penahanan ke atas suspek utama, SPRM turut menyerbu kediamannya di Klang, Selangor dan menemui sejumlah wang bernilai RM100,000 dipercayai sebahagian daripada hasil suapan tersebut.

“Suspek utama telah ditahan di Klang kelmarin, manakala suspek kedua dan ketiga yang merupakan orang awam ditahan pada hari sama di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan bukti dan dalang lain yang terlibat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini