
KUALA LUMPUR: Platform rangkaian profesional, LinkedIn, akan menjadi satu lagi syarikat media dilesenkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC sudah berhubung dengan penyedia platform berkenaan, Microsoft, susulan kenyataan terbaharu mendedahkan jumlah pengguna LinkedIn di negara ini melebihi lapan juta.
“Ada pertambahan platform media sosial yang akan dilesenkan iaitu LinkedIn.
“Maklumat yang kita peroleh menyatakan LindkedIn juga mempunyai pengguna melebihi lapan juta dan kita sudah mula berhubung dengan Microsoft yang memiliki LindkedIn,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Rintis Future Health for All (FH4A) di sini, hari ini.
Fahmi berkata, tiada perkembangan baharu berhubung pelesenan platform media sosial itu dengan beberapa tindakan dilakukan untuk menyegerakan prosesnya.
“Proses masih berjalan terhadap beberapa platform iaitu Google yang mengendalikan Youtube dan Meta Platforms Inc sudah di peringkat akhir.
“Setakat ini hanya WeChat, TikTok dan Telegram yang menerima lesen,” katanya.
Ogos lalu, MCMC memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Syarikat induk platform media sosial TikTok, ByteDance dan Tencent bagi WeChat menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
Permohonan Telegram mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pesanan internet diluluskan awal, bulan ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.