comscore
Tumpuan :
Nasional

LKAN: PM mahu isu tatakelola, kebertanggungjawaban diambil perhatian

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu aspek tatakelola dan aspek kebertanggungjawaban membabitkan kementerian, jabatan serta agensi kerajaan seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 diambil perhatian.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut antara dibangkitkan Anwar dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya, di sini hari ini.

“Perkara ini (teguran LKAN) juga secara umumnya terpulang kepada menteri masing-masing yang berhubung dengan mana-mana institusi, agensi dan jabatan yang diaudit untuk mengambil tindakan susulan.

“Tetapi yang menjadi keutamaan Perdana Menteri adalah isu tatakelola dan aspek kebertanggungjawaban dalam isu seperti yang telah dibangkitkan dalam (laporan) audit,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurut Fahmi, LKAN 2/2024 yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada awal minggu depan memberi ruang kepada Ahli Parlimen bagi kerajaan mendengar pandangan mereka dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita berikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti dan membahaskan serta menteri-menteri untuk menjawab, itulah prosesnya.

“Pada masa sama, sekiranya pihak Jabatan Audit Negara berpandangan terdapat apa-apa perkara yang perlu dipanjangkan atau dibawa perhatian badan penguatkuasaan seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), itu tidak ada halangan,” katanya.

LKAN 2/2024 antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan diaudit berjumlah RM41.97 bilion dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Ia melibatkan pengauditan mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan, dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahupun prosedur kerja disebut dalam laporan berkenaan.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu isu membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) sebelum mengkategorikan ia sebagai skandal kewangan terbesar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita perlu penelitian dulu dan kita beri ruang kepada Ahli Parlimen untuk membahas dan Menteri Sumber Manusia (Steven Sim) untuk memberi jawapan di Parlimen dulu.

“Belum masanya untuk kita membuat apa-apa pengklasifikasian (isu HRD Corp dan 1MDB),” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Sementara itu, LKAN 2/2024 mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merujuk kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung ketidakteraturan yang dikenal pasti terhadap pengurusan HRD Corp.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini