comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Lok Koho Punoh’ sanggup catu biasiswa demi kelestarian alam 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki 
 
PETALING JAYA: Tidak hanya merungut, anak kelahiran Pantai Timur membuktikan mereka sanggup membanting tulang demi memastikan kawasan pantai terjaga dan tidak mencacatkan pemandangan.

Setiap minggu, kumpulan ‘Lok Koho Punoh’ (LKP) sepakat membersihkan kawasan pantai dengan mengutip sampah dan bahan pencemar lain.

Usaha itu dilakukan sekumpulan anak muda kerana tidak mahu kelestarian alam terus terancam dek sikap manusia tidak bertanggungjawab.

Pengasasnya Muhammad Uzair Emir Ahmad Faisal, 25, berkata, nama LKP diambil daripada dialek Terengganu yang bermaksud makin dibiar makin teruk.

Graduan jurusan perubatan universiti tempatan di Terengganu itu juga memaklumkan dia sanggup mencatu wang biasiswanya untuk membeli peralatan untuk membersihkan kawasan yang terlibat.

“Kita buat tanpa mengharapkan balasan dan semua perbelanjaan daripada pihak kami sendiri.

“Antara lokasi tumpuan kumpulan kami ialah Teluk Takir berhampiran Jambatan Angkat serta Pantai Kekabu di Marang kerana ianya dikenal pasti antara pantai yang terkotor di Terengganu,” ujarnya kepada Buletin TV3.

Menurutnya lagi, LKP pernah bekerjasama dengan kumpulan aktivitis alam sekitar popular dari Indonesia, dikenali sebagai Pandawara.

“Selain di pantai, kita juga melakukan kerja pembersihan di beberapa lokasi lain. Malah, kami berhasrat untuk berkolaborasi dengan pihak universiti tempatan tidak lama lagi.

“Bagi saya, ini adalah inisiatif yang baik dimana mahasiswa diajar mencintai kebersihan dan alam sekitar,” katanya.

Katanya, LKP turut menyimpan hasrat menjadi hab pencinta alam sekitar sekaligus mencipta platform bagi anak muda turut serta melakukan tanggungjawab sosial.

Loading...
Terkini