PETALING JAYA: Penganjur ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ kemungkinan menukar lokasi gerakan itu ke Bukit Bintang berbanding sekitar pusat beli belah Sogo, ibu negara pada Sabtu ini.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata satu pertemuan akan dilakukan dengan pihak polis esok bagi membincangkan gerakan yang didakwa membantah tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Polis juga dijangka memanggil Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk berunding bagi memastikan himpunan berjalan aman dan lancar.
“Kami ingin membuat penjelasan berhubung perhimpunan aman akan berlangsung 16 September yang diulas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan semalam berkaitan isu polis tidak menerima sebarang permit penganjuran sehingga semalam.

“Pemakluman kepada polis dibuat semalam iaitu lima hari sebelum himpunan. Permohonan mengadakan himpunan juga telah berlaku antara pihak kami dan polis juga bermula semalam”, kata Ahmad Fadhli kepada media di Parlimen.
“Esok saya dengan Wan Fayhsal dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan, kami akan guna kesempatan itu berbincang secara baik dengan polis dan kami harap polis beri kerjasama.”
Ahmad Fadhli berkata, pihaknya juga terbuka untuk mengubah lokasi jika kawasan di hadapan kompleks beli-belah Sogo terlalu kecil untuk diadakan perhimpunan.
“Kami juga dapat maklumat supaya lokasi dapat dipindahkan di tempat luas, kami terbuka sebarang perubahan dan setakat ini, kami berbincang untuk ubah lokasi ke Bukit Bintang di depan Yayasan Selangor,” katanya lagi.
Artikel berkaitan: ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’, polis buka enam kertas siasatan