comscore
Tumpuan :
Nasional

Lori lawan arus: Pemandu beri alasan ikut GPS

FOTO: PDRM

SEREMBAN: Tidak biasa dengan laluan dan hanya mengikut aplikasi Sistem Pengesanan Global (GPS).

Itu alasan diberikan pemandu lori yang dirakam memandu melawan arus di Jalan Persiaran S2/3, Seremban 2, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada jam 7.40 malam tadi, tular satu rakaman video berdurasi 51 saat di media sosial memaparkan sebuah lori yang bergerak melawan arus di lokasi.

“Kejadian dipercayai berlaku jam 11.39 pagi semalam. Usaha mengesan suspek dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban.

“Ia membawa kepada penahanan seorang lelaki berumur 54 tahun iaitu pemandu lori berkenaan pada hari sama bersama sebuah lori di Balai Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang pada masa itu membuat penghantaran barang di kawasan Seremban tidak perasan laluan berkenaan tidak boleh dilalui.

“Dia mendakwa hanya memandu berpandukan aplikasi GPS kerana tidak biasa dengan laluan di kawasan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Mohamad Azmi di talian 013-4288599 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini