GOPENG: Kesesakan lalu lintas sejauh lebih enam kilometer berlaku susulan kejadian lori tangki terbalik dan melintang di laluan Lebuhraya PLUS di kilometer (KM) 313.6 arah Gopeng ke Tapah di sini.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di laman X @llmtrafik memaklumkan, insiden yang berlaku jam 9.05 pagi tadi menyebabkan semua lorong laluan lebuh raya terhalang.
Susulan itu pengguna dinasihati menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persekutuan dengan keluar di Persimpangan Plaza Tol Gopeng.
“AWAS! Maklumat awal kemalangan di KM 313.6 arah Selatan dari Gopeng ke Tapah. Semua lorong arah selatan terhalang. Trafik terhenti,” kata hantaran itu.
Hantaran lain di X @llmtrafik turut menyatakan kerja mengaktifkan laluan kontra dimulakan jam 9.44 pagi, setakat jam 10.27 pagi tadi semua lorong menghala ke selatan masih terhalang dan menyebabkan kesesakan sejauh 5 kilometer (km).
Setakat jam 12.31 tengah hari tadi, semua lorong di situ masih terhalang namun laluan kontra am sudah diaktifkan, dengan trafik perlahan sejauh 3 km.
“Laluan kontra masih diaktifkan. Trafik sesak 6 km arah ke selatan, manakala trafik sesak 5 km arah ke utara. Sila gunakan laluan alternatif,” menurut hantaran itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.