comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Lori terbabas dalam parit, pemandu tersepit

Foto Ihsan Bomba

SABAK BERNAM: Seorang pemandu lori tersepit dalam nahas berhampiran Jalan Desa Kasih, Tebuk Pulai, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.53 petang tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan membawa muatan tong ikan kosong disyaki hilang kawalan dan terbabas dalam parit.

Foto Ihsan Bomba

“Pemandu lelaki berusia 40-an tersepit di tempat duduk pemandu dan cedera di pinggang ke kaki,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad Mukhlis berkata, lori itu dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Besar ke Hutan Melintang, Perak.

Beliau berkata, anggota bertugas mengambil masa selama kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan mangsa dan kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini