comscore
Tumpuan :
Nasional

Lori terbalik gara-gara pemandu terlelap

Keadaan pemandu lori simen nyaris maut gara-gara terlelap semasa memandu.

SUBANG JAYA: Seorang pemandu lori yang terlelap nyaris mendatangkan kecelakaan kepada dirinya dan pengguna jalan raya yang lain dalam kemalangan di Jalan Persiaran Kewajipan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, lelaki tempatan berusia 54 tahun itu dari arah Subang Kelana menghala ke USJ 6 dengan memandu lori yang membawa muatan simen.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika kejadian lori yang dipandu lelaki itu terbabas lalu terbalik dan melanggar sebuah stor di bahu kiri jalan.

“Siasatan ke atas pemandu, dia mendakwa tidak sengaja terlelap semasa kejadian kerana sudah memandu jarak jauh dari arah Manjung, Perak menghala ke Subang Jaya untuk menghantar simen.

“Pemandu itu hanya mengalami kecederaan ringan luka di jari tangan kiri.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pengalihan lori terbabit kemalangan itu selesai sepenuhnya pada jam 3.50 petang.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875,” katanya.

Loading...
Terkini