ALOR SETAR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara lorong paling kiri untuk kenderaan berat dan lorong motosikal di Plaza Tol Hutan Kampung di Lebuhraya Utara-Selatan di sini, selama tiga hari bermula 9 malam pada 21 Oktober (Isnin) hingga 6 pagi 24 Oktober (Khamis).
PLUS dalam kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, katanya pengguna kenderaan berat dan lebar dinasihatkan menggunakan laluan alternatif ke Alor Setar melalui jalan alternatif iaitu jalan persekutuan dan jalan negeri sepanjang tempoh kerja berkenaan dijalankan.
“Selain itu, bagi pengguna motosikal pula akan dilencongkan ke lorong kenderaan ringan sepanjang tempoh penutupan dijalankan.
“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Pembantu Maya – PUTRI, Aplikasi X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
“PLUS mengucapkan terima kasih kepada pengguna lebuh raya atas perhatian dan kerjasama yang diberi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.