comscore
Tumpuan :
Nasional

Lorong tikus aktiviti jenayah hutan di sekitar Gerik

Jabatan Perhutanan Negeri Perak. -Foto: NSTP

SUNGAI SIPUT: Kewujudan banyak laluan tikus sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dalam kawasan Hutan Simpan Amanjaya di Gerik menjadikan kawasan itu tumpuan aktiviti jenayah hutan termasuk perlombongan mineral galian secara haram.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk), Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata kawasan hutan simpan kekal berkenaan kaya dengan mineral dan menjadi tumpuan peneroka haram hasil mineral terutamanya bijih timah.

Beliau berkata, inisiatif diambil antaranya membuat halangan pada lorong tikus yang dikenal pasti menjadi jalan masuk ke kawasan terbabit namun peneroka haram terbabit dengan membuat laluan baharu.

“Mereka tidak melombong secara besar-besaran, sebaliknya hanya secara mendulang di alur laluan air selain akses menceroboh hutan simpan berkenaan agak mudah kerana terletak di sepanjang laluan utama (JRTB).

“Pemantauan kawasan ini adalah satu cabaran yang mengambil kira kawasan hutan yang luas dan sumber-sumber yang terhad khususnya (sumber) kerjasama antara JPNPk dan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Operasi Bersepadu SMART negeri Perak 2022 JPNPk di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim.

Mohamed Zin bagaimanapun menafikan kegiatan melombong melalui penerokaan secara haram itu adalah perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Dalam operasi bersepadu membabitkan 91 keanggotaan dari lima agensi penguat kuasa serta dua badan bukan kerajaan (NGO) selama empat hari itu yang berakhir semalam, tiada tangkapan dan rampasan dihasilkan namun terdapat 19 insiden dikesan berkaitan jenayah hutan.

Antara insiden itu adalah penemuan jenut/sira buatan masih aktif, jerat bidas, penemuan khemah, pondok usang, dan kelongsong peluru, kesan pembukaan laluan masuk, serta penemuan aktiviti penerokaan baharu.

Operasi membabitkan tiga daerah hutan iaitu Larut, Matang & Selama, Kuala Kangsar, serta Hulu Perak yang membabitkan mengenal pasti 120 titik kawasan panas yang menjadi tumpuan penjenayah hutan melalui hasil risikan dan maklumat awal.

Selain JPNPk, agensi yang turut terbabit dalam operasi bermula 21 November lalu itu adalah Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN); Jabatan Mineral dan Geosains (JMG); Perbadanan Taman Negeri Perak serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Zahari berkata pada waktu ini hanya tiga negeri termasuk Perak mengguna pakai sistem Spatial Monitoring dan Reporting Tool (SMART) dan akan diperluaskan ke seluruh negeri di semenanjung Malaysia menjelang 2024. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini