Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) akan melaksanakan tindakan penyelenggaraan berterusan Jeti Dermaga Merdeka bermula pada tahun 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan integriti struktur jeti berkenaan sentiasa dalam keadaan yang baik.
Katanya, pihak LPL juga telah siap melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pencahayaan pada tahun ini sebagai usaha menaik taraf pelabuhan berkenaan.
“Pihak LPL telah selesai melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem pencahayaan pada tahun ini dan pihak LPL juga telah selesai melaksanakan tindakan penyelenggaraan trestle Jeti Dermaga Merdeka pada Oktober 2024.
Tambahan itu, pihak LPL akan melaksanakan tindakan penyelenggaraan berterusan bermula pada tahun 2025 bagi memastikan integriti struktur Jeti Dermaga Merdeka sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu katanya, hasil kajian Penilaian Teknikal Mei lalu ke atas struktur dan aksesori di Jeti Dermaga Merdeka, jeti tersebut boleh menampung permintaan dan keperluan operasi semasa sehingga tahun 2038.
Walau bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaraan pemulihan dan pengukuhan struktur perlu dilaksanakan memandangkan terdapat beberapa struktur yang dijangka mengalami tekanan berlebihan mulai tahun 2026 sehingga 2028.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan cadangan pembangunan Labuan Integrated Port masih dalam penelitian pihak Perbadanan Labuan.
Kementeriannya akan melaksanakan tindakan sewajarnya bagi mempertimbangkan cadangan itu sebaik sahaja permohonan diterima.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.