comscore
Tumpuan :
Nasional

LPP sedia mohon kuota tambahan BPT

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim (kiri) melawat Peladang Outlet PPN Perak pada majlis perasmian Peladang Outlet PPN Perak di Pekarangan Peladang Taman Anda, Ipoh. Foto NSTP

IPOH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan memohon kuota tambahan bagi beras putih tempatan (BPT) jika jumlah sedia ada sebanyak 2,500 metrik tan sebulan yang diperuntukkan kepadanya tidak mencukupi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim berkata penambahan kuota itu susulan sambutan yang tinggi ketika ini daripada kalangan rakyat.

“Perbincangan juga sudah dibuat yang mana sekiranya kouta 2,500 tan itu tidak cukup maka pihak kawal selia sememangnya tiada masalah untuk meningkat atau menambah lagi kouta untuk LPP itu,” katanya kepada pemberita sewaktu Majlis Perasmian Peladang Outlet Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Taman Anda, di sini hari ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim. Foto NSTP

Tambahnya, edaran akan dibuat di 103 outlet LPP di seluruh negara.

Peladang Outlet atau outlet peladang adalah penjenamaan semula daripada nama asal iaitu Pusat Pengumpulan Hasil Ladang Peladang (PPHLP).

Peladang Outlet yang dirasmikan itu dikategorikan sebagai outlet premium pertama LPP membabitkan premis agak besar serta menempatkan lebih banyak hasil jualan termasuk daging ternakan.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuk jualan secara dalam talian dan perkhidmatan mesin retort untuk peladang.

Kata Azulita lagi, ketika ini harga BPT yang ditawarkan di outlet LPP dan kedai-kedai Pertubuhan Peladang seluruh negara adalah RM26 bagi 10 kilogram (kg) iaitu di bawah harga lantai.

Terdahulu, kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memutuskan semua stok semasa padi dan beras yang dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.

Bekalan itu diedar secara berperingkat melalui tiga kaedah intervensi menggunakan platform LPP, FAMA, dan pasar raya besar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini