comscore
Tumpuan :
Nasional

LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya suku ketiga 2023

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dan beroperasi pada kapasiti penuh dengan 48 set keretapi menjelang suku ketiga 2023.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengakui pada ketika ini perkhidmatan tren berkenaan berdepan pelbagai gangguan dan masalah antaranya kekurangan set keretapi.

“Kami melakukan segala yang kami mampu untuk memastikan gangguan ini tidak berlaku dengan kerap.

“Setakat ini, perkhidmatan kami tidak stabil sepenuhnya dan saya minta maaf untuk itu. Kita juga akan memastikan masalah teknikal dan penyelenggaraan perlu diberikan perhatian secara serius dan Prasarana sudah mempunyai perancangan. Kami berharap menjelang Jun tahun depan semuanya akan stabil,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Prasarana Malaysia Berhad hari ini.

Setakat ini Rapid KL mempunyai 56 set keretapi namun hanya 38 beroperasi manakala 18 lain sedang diselenggara.

“Ini adalah laluan paling sibuk dalam laluan LRT dan MRT di Lembah Klang yang mana secara purata terdapat 200,000 penumpang menggunakan laluan Kelana Jaya.

“Secara optima kita mahu lihat kekerapan paling minimum adalah tiga minit. Ia memerlukan 48 set keretapi beroperasi, namun ketika ini kita hanya mempunyai 38,” katanya.

Ketika ini Prasarana tidak dapat memberi komitmen untuk menurunkan kekerapan kepada tiga minit dan akan mengekalkannya pada lima minit.

Bagaimanapun, katanya pihak Prasarana sudah membeli 19 set keretapi empat gerabak baharu.

“Set pertama akan beroperasi menjelang Ogos tahun hadapan dan adalah sangat penting untuk memastikan perkhidmatan kita lebih baik, cepat dan selesa,” katanya.

Sementara itu, laporan lengkap membabitkan penutupan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada November lalu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi akan didedahkan kepada orang ramai sebaik siasatan siap dijalankan.

“Satu laporan sudah dikemukakan kepada pihak kementerian dan akan diangkat kepada Jemaah Menteri.

“Prasarana melantik sebuah syarikat bebas untuk melaksanakan siasatan dan laporan awal sudah diberikan kepada saya,” katanya.

Pada November lalu, sebanyak 16 stesen LRT Kelana Jaya ditutup membabitkan antaranya Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan dan rungutan daripada orang ramai dan perkara itu sudah diambil maklum.

Katanya, antara aduan diterima membabitkan stesen monorel, di mana kemudahan lif tidak memuaskan.

“Sebanyak 16 lif di stesen monorel tidak berfungsi dan menyukarkan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Selain itu, 46 daripada 706 eskalator tidak berfungsi dan 17 kawasan mengalami kebocoran yang perlu dibaiki selain masalah pencahayaan yang mana 664 mentol rosak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian pengangkutan bahagian darat meluaskan jawatankuasa audit kepada semua pengangkutan di Lembah Klang.

“Skop audit akan diperluas dan membabitkan pelbagai pihak dan bukan saja Prasarana untuk memastikan ekosistem perkhidmatan awam diaudit lebih baik dan tindakan diambil secara cepat,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini