comscore
Tumpuan :
Nasional

LTAT nafi rizab negatif

Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Jalan Bukit Bintang, ibu negara.

KUALA LUMPUR: Rizab negatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) hanya mewakili satu daripada tiga komponen rizab.

LTAT memaklumkan Rizab Gabungan LTAT terdiri daripada komponen Keuntungan Tertahan, Dana Rizab dan Rizab OCI yang secara bergabung mencerminkan kestabilan kewangan LTAT.

Menurut LTAT, laporan itu hanya menjurus kepada satu komponen iaitu Rizab Pendapatan Komprehensif Lain.

Agensi itu menjelaskan bahawa walaupun Rizab OCI menunjukkan nilai defisit, baki bersih Rizab Gabungan pada akhir Tahun Kewangan 2022 adalah positif dan pada jumlah RM160 juta sekaligus menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya.

Untuk rekod, Rizab OCI bermaksud keuntungan atau kerugian terkumpul aset yang belum direalisasikan dan dilabelkan mengikut piawaian perakaunan sebagai FVTOCI (Nilai Saksama Pendapatan Komprehensif Lain).

Sebelum ini, LKAN mendedahkan LTAT menghadapi rizab negatif berjumlah RM388 juta pada tahun 2022.

Menurut LKAN, LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM812 juta; merangkumi Boustead Holdings Berhad dengan jumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad, RM44 juta.

Ia menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM812 juta.

Dalam pada itu, LTAT berkata kedudukan Rizab Bersih yang positif itu juga membawa kepada Nisbah Solvensi Buku melebihi 100 peratus mengesahkan bahawa Aset Bersih pada Nilai Buku melebihi jumlah caruman pencarum.

“Ini menandakan keupayaan LTAT untuk memberi dividen kepada semua pencarum,” kata kenyataan itu.

LTAT yakin lembaga itu masih dapat mengekalkan kadar solvensi tidak kurang dari tahap ambang minima (threshold) sepertimana yang telah ditetapkan dalam Polisi Dividen sekiranya komponen Untung Bukan Tunai diasingkan.

LTAT menegaskan bahawa sebagai dana persaraan, dividen yang diisytiharkan tidak membabitkan pengeluaran tunai secara terus dan hanya akan dikreditkan ke dalam akaun caruman ahli.

“Oleh itu, kedudukan kecairan LTAT kekal stabil, memastikan kami dapat memenuhi semua komitmen apabila diperlukan,” katanya.

Mengikut laporan, LTAT mempunyai seramai 122,935 orang pencarum anggota tentera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini