comscore
Tumpuan :
Nasional

Lukisan anime Sofea terjual ke luar negara

Oleh: Izzatie Rizan

SHAH ALAM: “Daripada hobi terus ada pendapatan sendiri’.

Seorang remaja di sini berjaya membuktikan hobinya terhadap komik manga serta anime mampu memberikan pulangan yang berbaloi.

Gemar melukis karektor anime sejak berusia sembilan tahun, Nur Fatin Sofea Hamzah 17, menggunakan bakat seninya, mencipta nama di luar negara dengan menjual karya lukisan anime secara dalam talian.

Bak kata pepatah, kecil-kecil cili api, namanya kini menjadi siulan peminat anime dari Amerika Syarikat serta Jerman yang sanggup membeli karyanya pada harga mencecah ribuan ringgit.

Mula menjual karyanya di dalam talian sejak dua tahun lalu, minat beliau terhadap aktiviti melukis anime, bermula setelah menonton watak animasi Jepun, Naruto.

Hanya mempelajarinya menerusi Youtube, Sofea mengakui, karyanya pernah dipersendakan malah dilabel tidak cantik oleh rakan sebaya.

“Mula-mula memang tiada siapa percaya lukisan saya, malah keluarga pun tidak tahu…sampailah abang saya bocor rahsia pada keluarga mengenai lukisan saya yang kini boleh dibeli di talian.

“Memang pernah patah semangat, tapi bagi saya, lagi orang kritik lagi saya nak buat yang terbaik. Biasanya yang beli memang pembeli antarabangsa. Orang di negara ini jarang beli.

“Bayaran biasanya akan dibuat dalam talian melalui Paypal menggunakan mata wang dolar Amerika,”katanya kepada Buletin TV3.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Hartamas ini memberitahu, setakat ini lebih 30 karya telah terjual, di mana salah satunya dibeli dengan harga RM1,079.

Meskipun meminati dunia anime, ujar Sofea dia sangat mementingkan pelajaran, selain berhasrat ingin menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam jurusan pemasaran.

“Lazimnya aktiviti melukis hanya dilakukan selama 5 jam setiap tiga kali seminggu dan selebihnya tumpuan memang untuk pelajaran kerana tahun ini saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kebanyakan pelanggan mengambil khidmat saya untuk penghasilan projek terutamanya bagi kegunaan animasi. Ada juga yang mengupah saya untuk melukis watak kegemaran mereka untuk tatapan sendiri,” tambahnya.

Kongsi remaja ini lagi, menerusi karyanya,  dia kini sudah mempunyai duit sendiri, untuk membeli setiap barangan yang diidamkan.

Malah lebih membanggakan, Sofea turut ditawarkan peluang pekerjaan oleh syarikat animasi terkenal dari luar negara.

Tidak lokek berkongsi ilmu, laman sosial Instagram digunakan gadis ini sebagai pentas untuk berkongsi lukisan anime.

Selain berhasrat ingin membawa karya anime berkonsepkan Malaysia ke pentas dunia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini