comscore
Tumpuan :
Nasional

Luluh hati Isteri, saksi suami dibaham harimau

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Seorang lelaki disyaki maut selepas dibaham harimau di rumah kongsi di Kilometer (km) 79.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Perak, Datuk Azizi Mat Aris dalam satu kenyataan memaklumkan Pusat Kawalan Daerah Gerik menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 8.25 pagi tadi.

“Mangsa berusia 54 tahun itu bekerja sebagai pengendali jentera berat, dipercayai dibaham ketika hendak ke tandas di rumah kongsi Bagan Balak di JRTB. Kejadian yang berlaku sekitar jam lima pagi itu disaksikan isterinya.”

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris. – Foto fail NSTP

“Isterinya itu telah mendengar bunyi harimau mengaum lalu membuka pintu rumah kongsi dan telah melihat seekor harimau sedang mengheret mangsa ke arah semak.”

Susulan kejadian itu, pihak polis katanya telah menggerakkan Operasi Mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa kemudiannya telah dijumpai meninggal dunia kira-kira 100 meter dari rumah kongsi itu, dengan kecederaan parah pada bahagian kaki kiri dan leher.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini