comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Luluh hati kami apabila polis maklumkan keretanya jatuh ke dalam gaung’ -Kakak mangsa

Gambar keluarga arwah Syazwani – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: “Arwah Shazwani beriya-iya nak bercuti ke Cameron Highlands hari ini, katanya kalau minggu depan orang ramai sebab cuti umum,” kata Najdiah Ismail, 41, kakak kepada mangsa kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga di Kilometer 86 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu empat sekeluarga, Mohd Junaizi Jusoh, 48; Shazwani Ismail, 39; Farhana Ismail, 35, dan Muhammad Fakrul Danish Mohd Junaizi, 18 maut di lokasi kejadian.

Kejadian berlaku apabila sebuah lori dari arah Cameron Highlands terbabas dan merempuh kereta Perodua Myvi yang dinaiki keluarga terbabit.

Menurut Najdiah, sebelum kejadian mereka dengan tiga kenderaan berkonvoi ke Tanah Tinggi Cameron Highlands untuk bercuti dan akan pulang esok.

Katanya, dia menyedari kejadian yang menimpa adiknya selepas berpatah balik apabila tidak dapat menghubungi ahli keluarganya yang menaiki kereta berkenaan.

“Apabila sampai di R&R Lojing kami sempat berhenti rehat dan kereta yang dinaiki arwah bersama adik (Farhana) berada di belakang sekali.

“Beberapa kali kami menghubungi Shazwani dan Farhana namun tidak berjawab sehinggalah kami membuat keputusan untuk berpatah balik.

“Sebaik tiba di lokasi kami nampak ada serpihan kereta milik Farhana, luluh hati kami apabila polis memaklumkan keretanya jatuh ke dalam gaung,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini, hari ini.

Najdiah berkata, mereka bertolak dari Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, Terengganu kira-kira jam 8 pagi dan akan bermalam di Tanah Tinggi Cameron Highlands.

Katanya, arwah adiknya Farhana belum berkahwin, manakala Shazwani mempunyai tiga anak termasuk Muhammad Fakrul Danish yang turut maut dalam kemalangan itu.
Menurutnya, anak bongsunya Nur Anis Zahra Nazihah, 12, menaiki kereta ibu saudara yang turut serta dalam konvoi terbabit, manakala Nur Jihan Irdina, 13, tidak mengikuti percutian keluarga itu kerana berada di asrama.

Terdahulu media melaporkan lima maut termasuk empat sekeluarga apabila kereta yang mereka naiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 86 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini