KOTA BHARU: Luluh hati seorang peniaga di Kampung Tujuh, dekat Tumpat, apabila melihat kediamannya musnah akibat arus deras banjir.
Dalam kejadian malam kelmarin, kediaman milik Mohd Safian Abd Kadir, 44, yang dibina sejak tiga tahun lalu itu rosak dan menyebabkan dia kerugian RM200,000.
Katanya, dia mengetahui kejadian itu pada 11 malam kelmarin selepas dihubungi rakannya yang memaklumkan rumahnya musnah.
“Rumah itu saya bina dengan duit simpanan selama 20 tahun hasil daripada perniagaan kecil-kecilan. Saya dan isteri hanya mampu menangis melihat rumah hasil titik peluh kami berniaga musnah dan hampir roboh dalam sekelip mata.
“Tiada kata-kata yang dapat kami luahkan dan percaya ia mempunyai hikmah di sebaliknya. Selama ini, tidak pernah berlaku banjir di lokasi ini, namun kelmarin, air deras lalu di kediaman kami yang menyebabkan struktur bangunan retak dan musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, dia bersyukur kerana ketika kejadian, isteri, Mariana Muda, 46, dan lima anak termasuk anak bongsu, Mohd Izham Rifqi, 9, yang juga orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down dan tidak boleh berjalan, tiada di rumah itu, kerana mereka menumpang di rumah ibu mentua, Halimah Hassan, 90.
Menurutnya, kediaman itu sementara dibuat inap desa, dan jika tiada tetamu, mereka sekeluarga akan tinggal di rumah itu.
“Jika ada tetamu, saya sekeluarga akan tinggal di rumah ibu mentua yang jaraknya dalam dua kilometer sahaja. Kebetulan musim banjir, kami tidur di rumah ibu mentua kerana bimbang dengan keselamatannya.
“Rumah ibu mentua juga dinaiki air separas 0.2 meter, namun kami tidak berpindah kerana masih ada tempat tinggi untuk kami tidur.
“Saya berharap dapat membina kembali rumah itu, namun setakat ini tidak mempunyai modal memandangkan saya hanya berniaga secara kecil-kecilan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.