comscore
Tumpuan :
Nasional

Luluh lihat anak tidak bernyawa

Zaidir Zahib, 51 menunjukkan gambar anak lelakinya, Muhammad Zai Hisham, 25 yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di atas bot di muara Sungai Marang di Kampung Seberang Marang, Marang hari ini. – Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Luluh hati seorang bapa apabila menemukan anak lelakinya yang meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik di atas bot di muara Sungai Marang di Kampung Seberang Marang, Marang hari ini.

Mayat, Muhammad Zai Hisham Zaidir, 25, ditemukan bapanya, Zaidir Zahib, 51, kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurut Zaidir, dia bersama anaknya sebelum itu bersama-sama membaiki bot milik mereka, namun mangsa memintanya pulang ke rumah kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, dia yang tiba lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 pagi tadi untuk menyambung kerja-kerja pembaikian bot yang mengalami kerosakan pada bahagian kipas itu terkejut selepas melihat anak kedua daripada lima beradik itu sudah tidak bernyawa dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Bila saya sampai, saya nampak anak sudah keras terkaku manakala arus elektrik masih terasa di atas bot.

“Saya syak dia menyentuh suis lampu dalam keadaan basah selepas turun ke sungai kerana saya juga pernah membuat kerja pembaikian itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, hari ini.

Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Menerong, Hulu Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HSNZ Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini