PETALING JAYA: Dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik ditahan reman selama 4 hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.
Sumber memaklumkan mereka dipercayai ditahan kira-kira jam 11 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.
Suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan bersama suspek kedua yang juga pemilik syarikat berusia lewat 50-an dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan tersebut meminta dan menerima rasuah melalui syarikat suspek kedua daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku secara rundingan terus.
Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 September selepas pihak SPRM membuat permohonan reman tersebut pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.