KUALA LUMPUR: Luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 16 Disember ini, berdasarkan analisis model cuaca terkini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah sepanjang tempoh berkenaan.
“METMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) membabitkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa sehingga 11 Disember ini.
“Amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 12 Disember ini.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapat maklumat terkini dan sahih,” katanya.
Laporan terdahulu menyebut, hujan lebat berterusan peringkat jingga dijangka melanda beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga Rabu ini.
METMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan peringkat kuning diramal di Perlis, Kelantan serta beberapa daerah di Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.