Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Drama bersiri terbaharu ‘Luruhnya Bunga Cinta’ bakal mengisi slot Akasia TV3 bermula 19 September ini.
Diadaptasi daripada drama korea popular ‘Autumn In My Heart’ pada tahun 2000, ‘Luruhnya Bunga Cinta’ ditampilkan dengan elemen segar hasil garapan Pengarah Muhamad Riza Baharudin.
Drama 40 episod itu mengisahkan takdir dua gadis tertukar sejak bayi, hingga membawa perubahan mendadak dalam hidup mereka apabila kejadian silam terbongkar selepas 13 tahun.
Riza berkata, drama bersiri itu bakal menjanjikan kelainan buat penonton khususnya peminat drama asalnya.
“Kelainannya ialah kisah cinta Nuh dan Nuha ini lebih kurang sama macam yang pernah disiarkan di Korea, tetapi kita mainkan dengan ‘culture’ dia supaya drama itu kelihatan lebih lembut dan bersesuaian dengan masyarakat.
“Dalam pada itu, kita juga mempunyai ramai watak antagonis yang dibawa, namun perlu dirahsiakan terlebih dahulu,” ujarnya.
Luruhnya Bunga Cinta akan menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 atau boleh diikuti di penstriman video dalam talian, i-QIYI selepas satu jam tayangannya di televisyen.
Buat pelakon utama Redza Rosli yang memegang watak Nuh, drama adaptasi berkenaan juga memberikan cabaran buat dirinya.
“Ia memberi cabaran dan pengalaman untuk saya juga, kerana penonton yang pernah tengok drama sebelum ini meletakkan jangkaan yang tinggi dan itu membuatkan kita risau.
“Namun saya percaya dengan kerjasama antara pasukan dan apa yang telah kita, pengarah, dan produksi berikan, semuanya telah melakukan yang terbaik, insyaAllah, doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama berkenaan di ibu negara hari ini.
Autumn In My Heart yang dibintangi pelakon Song Hye Kyo, Song Seung-Heon dan Won Bin pernah disiarkan di TV3.