Tumpuan :
Nasional

Lyia Meta, suara Malaysia pertama tersenarai dalam pencalonan Grammy

Bagi Lyia, tercalon dalam Anugerah Grammy memberi makna yang sangat mendalam pada dirinya. FOTO: Lyia Meta

KUALA LUMPUR: Berbekalkan bakat suara yang luar biasa, penyanyi Malaysia, Lyia Meta sekali lagi mengukir momen di pentas antarabangsa apabila dicalonkan dalam Anugerah Grammy 2025.

Lagunya ‘Delta Shine’ bersama pemuzik Latin-Amerika, Antonio Vergara telah menerima pencalonan dalam kategori Best Contemporary Blues Album.

Pencalonan itu baginya lebih daripada sekadar kejayaan peribadi dan ia juga menunjukkan potensi besar artis Malaysia untuk bersaing dan berjaya di mata dunia.

“Bagi seorang artis bebas, terlibat dalam album yang dicalonkan untuk Grammy membawa makna yang lebih mendalam, lebih daripada sekadar penghormatan itu sendiri.

“Tanpa sokongan daripada label besar, ia adalah satu pengiktirafan terhadap dedikasi dalam mencipta sesuatu yang bermakna, ibarat menghasilkan emas daripada jerami di tengah-tengah kebisingan,” katanya.

FOTO: Lyia Meta

Pencalonan Anugerah Grammy 2025 yang diumumkan pada Jumaat membawa sinar harapan bagi Lyia.

Beliau berharap dapat menerima sokongan menjelang malam anugerah terbesar dalam industri muzik yang akan diadakan di Los Angeles pada 2 Februari tahun depan.

Walaupun Lyia merupakan penyanyi Malaysia pertama yang terlibat dalam pencalonan Grammy, komposer kelahiran Malaysia, Zuraini Khalid Zonneveld, telah dulu meraih Grammy menerusi sebuah album blues.

Zuraini yang kini menetap di Amerika Syarikat, turut menulis lagu ‘One Friend’ dalam album Keep It Simple milik pemuzik blues Amerika, Keb’ Mo’, yang memenangi Grammy untuk Best Contemporary Blues Album pada tahun 2005.

Selain itu, seorang lagi rakyat Malaysia-Amerika, Phil Tan, telah meraih tiga anugerah Grammy dan menerima 14 pencalonan Grammy sebagai jurutera audio dan pencampur suara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini