
SIBU: Mabuk cinta dengan seorang arkitek dari Amerika Syarikat menyebabkan seorang pesara pengasuh taman asuhan di sini kerugian sebanyak RM67,650.
Wanita tempatan berusia dalam lingkungan 50-an itu mengenali suspek daripada Facebook sejak pertengahan tahun 2020.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek yang memperkenalkan diri sebagai James Huong kemudian memberitahu mangsa yang dirinya bekerja sebagai arkitek dan mempunyai seorang anak yang masih kecil.
Selepas itu, beliau berkata suspek mengatakan akan datang ke Sibu untuk berjumpa dengan mangsa dan berjanji akan mengahwininya.
Bermula pada 27 Oktober 2022, Zulkipli berkata suspek meminta mangsa membayar yuran persekolahan anaknya di Amerika Syarikat atas alasan masih bekerja di pesisir pantai dan tidak dapat balik ke USA.
“Atas rasa cinta, mangsa bersetujumemberikan wang sebanyak RM7,000 kepada suspek dan dijanjikan akan dibayar balik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, Zulkipli berkata sekitar Mei 2023,mangsa dijanjikan hadiah berupa wang tunai USD yang akan dipindahkan ke akaun mangsa dan ia membuat mangsa berasa teruja.
Bagaimanapun, katanya mangsa yang membuat semakan mendapati tiada kemasukan wang seperti yang dijanjikan dan suspekmemaklumkan berlaku masalah akaun dan perlu mendapat kebenaran Bank Negara untukkemasukan mata wang USD, dengan mangsa diminta membuat bayaran untuk membolehkan pindahan wangdilakukan.
Katanya mangsa kemudian menuruti dan telah membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam beberapa akaun bank tempatan bermula 11 Mei 2023 sehingga 4 Ogos 2023, berjumlah RM67,650 menerusi 25 kali transaksi.
Zulkipli berkata mangsa merasakan dirinya diperdaya apabila ditegur oleh anaksaudaranya, sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam.
Susulan itu, katanya satu kertas siasatan di buka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.