comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Macam-macam benda jatuh atas kereta kami’ -Penduduk

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: “Kampit simen, bongkah kayu, serta besi pernah jatuh atas kenderaan kami”.

 

Itu dakwa penghuni Projek Perumahan Rakyat PPR Jelatek di ibu negara susulan kejadian konkrit batu jatuh menghempap lima kenderaan di kawasan perumahan itu.

Meskipun tiada yang cedera atau kehilangan nyawa, penduduk yang ditemui bimbang kejadian sama berulang, selain mendakwa pihak pemaju gagal mematuhi aspek keselamatan, pembinaan tempat letak kereta 7 tingkat itu.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, projek pembinaan tempat letak kereta ini benar-benar menjadi harapan penduduk bagi menyelesaikan masalah parkir yang tidak mencukupi di kawasan PPR itu.

Untuk itu, dakwa penduduk, mereka memilih untuk ‘tutup mata’ setiap kali kejadian seumpamanya berlaku.

Mengibaratkan parkir kenderaan di kawasan ‘bom jangka’, kejadian ini dakwa mereka merupakan yang terburuk sejak pembinaan tempat letak kereta terbabit bermula pada 2018.

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, kereta Muhammad Yazid Yusof rosak paling teruk selepas dihempap konkrit itu.

Bercakap kepada Buletin TV3, dia redha dengan ketentuan berkenaan meskipun kenderaan itulah satu-satunya pengangkutan utama keluarga.

“Saya memang terkejut bila dapat panggilan yang maklumkan kereta saya kena. Mula-mula tak percaya tapi bila tengok gambar rupanya kereta saya.

“Memang sangat sedih tapi nak menangis pun tak berguna dah sebab benda dah berlaku pun.

“Kalau ikutkan sebelum dibina projek tempat letak kereta ini…kawasan ini merupakan tempat kami letak kenderaan tapi kemudian PBT bina projek ini.Sekarang memang tak ada pilihan selain terpaksa parkir bersesak-sesak, sebab kalau parkir luar nanti penduduk akan disaman,” katanya.

Penduduk juga menggesa pemaju menutup bahagian yang sedang dalam proses pembinaan dengan sempurna.

Ini kerana projek berkenaan hanya terletak 50 meter daripada kediaman penghuni PPR itu.

Seorang lagi penduduk, Badrul Muhayat Abdul Aziz berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyemak semula tahap keselamatan kawasan pembinaan berkenaan.

“Saya lihat sendiri konkrit itu jatuh hempap kereta, memang nasib baik sangat ketika kejadian tak ada seorang penghuni pun yang lalu, kalau tidak memang hempap orang.

“Saya mohon buatlah yang terbaik untuk keselamatan penduduk, tapak bangunan tempat letak kereta PPR Jelatek yang sedang dibina ini asalnya kawasan taman permainan kanak-kanak.

“Kini kawasan tepi projek itu jadi tempat mereka bermain kerana ketiadaan taman permainan,”katanya.

Semalam, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut meninjau lokasi kejadian.

Bagaimanapun kawasan pembinaan terbabit tidak dapat dimasuki, dan difahamkan kerja-kerja pembinaan diarah berhenti serta merta.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL dalam maklum balas kepada Buletin TV3 menjelaskan, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung kejadian itu.

Loading...
Terkini