comscore
Tumpuan :
Nasional

Madrasah Ramadan perlu dijaga kesuciannya, umat Islam lipat ganda doa untuk Palestin – Naim 

Oleh: Mohd Fareez Azman

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyeru umat Islam di negara ini agar melipat gandakan ibadah ketika Ramadan yang akan berlangsung esok.

Dalam satu kenyataan media beliau turut menyeru agar Madrasah Ramadan di masjid dan surau seluruh negara dapat diimarahkan dengan pendakwah-pendakwah yang bertauliah.

“Esok, umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak bagi 1445 Hijrah. Bulan yang suci lagi mulia ini hendaklah diimarahkan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Marilah bersama-sama kita mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadat puasa, qiyam, solat tarawih, doa, zikir, Tadarus Al Quran, sedekah dan infaq dalam memperkukuhkan iman dan takwa serta meraih keampunan Allah SWT.

“Saya juga ingin menyeru umat Islam agar melipat gandakan doa, Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi saudara seagama kita di Palestin agar mereka bebas dari cengkaman rejim Zionis Israel yang kini telah membunuh lebih 30,000 nyawa dan mencederakan lebih 72,000 umat Islam di Gaza,”jelasnya.

Tambah Mohd Naim lagi, lebih ramai umat Islam diseru untuk mewarnai kesucian bulan Ramadan untuk beribadah di masjid dan surau-surau seluruh negara.

Malah majlis-majlis ilmu dan agama yang akan diadakan sepanjang bulan Ramadan di seluruh negara tambahnya perlu mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa agama Islam Negeri.

“Madrasah Ramadan ini juga harus dijaga kesuciannya, saya mengingatkan kepada semua pendakwah-pendakwah bertauliah di negara ini agar sama-sama mewarnai kesucian bulan Ramadan dengan mengajak lebih ramai umat Islam bersama beribadah di rumah Allah SWT.

“Begitu juga majlis-majlis ilmu dan agama yang diadakan sepanjang bulan yang mulia ini mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam Negeri.

“Bulan Ramadan juga menjadi bulan bagi rata-rata rakyat mendapatkan rezeki yang lebih berniaga di bazar-bazar Ramadan seluruh negara. Ingin saya ingatkan juga, agar umat Islam sentiasa bersederhana dan mengelakkan pembaziran makanan sewaktu berbuka puasa nanti,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini