Tumpuan :
Nasional

Madu sebumbung, Hajar dan Syuhada berdamai dengan takdir

Oleh: Izzatie Rizan

KAJANG: Lima tahun lalu Siti Hajar Che Ab Rahim juga seperti wanita lain yang bersedih tatkala si suami berniat hendak berpoligami.

Dugaan yang hadir tanpa diduga rupa-rupanya satu rahmat, apabila perkongsian yang diredhainya akhirnya menghadiahkannya, seorang sahabat baharu malah dia dan madunya damai tinggal serumah.

Bercakap kepada Buletin TV9, Siti Hajar 41,  memberitahu keputusan untuk berkongsi kasih dipersetujui setelah duduk berbincang bersama suami, Abd Halim Ikhsan 42.

Lebih manis, Siti Hajar sendiri yang meminang Nurul Fatin Syuhada Mohd Sharidin 29, untuk dijadikan isteri buat suaminya.

“Suatu hari suami tanya saya, nak tak sekiranya saya masuk ke alam poligami… saya tanya kembali kepada ketua keluarga (suami), apa alasannya dan untuk apa.

Kemudian suami cakap jomlah kita berjemaah…mari kita merasai apa yang Rasullullah rasa sebab selama ini Allah dah bagi kita macam-macam tapi apa sumbangan yang kita dah buat untuk agama ini?,”katanya.

Katanya, dalam bahagia ada juga selisih faham. Namun, lazimnya tidak lama, kerana akhirnya situasi yang keruh itu dapat dijernihkan kembali.

“Sudah 5 tahun kami tinggal bersama. Dalam sebuah rumah dan dalam 5 tahun itu juga sejuta macam cerita dan drama yang berlaku antara kami. Namun takdir Allah masih menetapkan kami untuk tinggal bersama.

Suami adalah pembimbing, pembuat keputusan…dia ada peranan-peranan dia. Isteri kedua dia sebagai seorang adik kepada saya maka dia menjalankan peranan sebagai seorang adik juga sebagai isteri kedua yang merupakan orang yang baharu masuk dalam bahtera kami.

Jadi akhlak, adap dan tingkah lakunya berbeza daripada saya sebagai seorang kakak…dan dia akhlaknya sebagai seorang adik,” jelasnya.

Dalam pada itu, keputusan untuk tinggal serumah adalah sesuatu yang telah diputuskan bersama.

Malah Siti Hajar dan madunya, Nurul Fatin Syuhada sepakat membahagikan setiap tugasan, dimana apa sahaja yang berlaku di dalam rumah merupakan tanggungjawab bersama.

“Saya biasa kalau lepas solat Mahgrib saya akan duduk dalam bilik sampai solat Isyak, saya akan musahabah diri…hari ini apa perkara yang saya lakukan yang boleh mengguris hati suami dan kakak madu…apa yang tak betul lagi.

Hari-hari rutin saya begitu…saya kini lebih nak memperbaiki diri sendiri daripada nak cari kesalahan orang lain,”tambahnya.

Sementara itu Abd Halim tidak menafikan dia menerima pelbagai persepsi masyarakat apabila mengamalkan poligami.

Abd Halim yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata untuk mengecap kebahagiaan dalam rumah tangga suami perlu mengenal Allah SWT dan yakin dengan kekuasaanNya.

Jelasnya melalui poligami, dia mengenal erti kesabaran dan ketakwaan kepada yang Esa.

“Saya dan isteri pertama sama-sama mengusahakan perniagaan dan sentiasa sibuk..meskipun perkara-perkara yang wajib kami tidak lalai…namun yang sunat ini tak konsisten. Untuk itu saya pilih nak bermujahadah..mujahadah itu maksud saya ada berperang dari dalam, untuk itu saya kene berlaku adil kepada isteri-isteri saya.

“Mereka itu termasuk saya sedang beperang…(perang menundukkan hawa nafsu) itulah sebab saya memilih untuk poligami sebab ibadah-ibadah lain itu saya tidak akan boleh konsisten,” ulasnya.

Bagi Dekan, Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Salleh, poligami itu indah jika setiap institusi dalam keluarga memainkan peranannya.

“Bagi saya soal patut, soal perlu (poligami) itu bukan perkara yang enteng sebenarnya. Kadang-kadang ada yang patut berkahwin tetapi tiada keperluan, atau ada yang perlu tetapi tidak sepatutnya berlaku.

Jadi hal ini sangat subjektif yang mana kita,orang awam jangan sesekali mengukur serta menilai seperti mana yang dilakukan mahkamah syariah. Kita tidak sepatutnya memuatkan sebarang komen atau penilaian kerana memutuskan perkara ini memerlukan penilaian yang mendalam dan telah dilakukan mahkamah,”katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, setiap lelaki yang merancang berpoligami perlulah berlaku adil dan saksama terhadap kedua-dua isteri yang dinikahi.

Dan sekiranya tidak mampu berlaku adil maka perkahwinan tersebut tidak sewajarnya dilangsungkan.

Loading...
Terkini