comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MAFFI diarah beri keutamaan inisiatif basmi miskin tegar Sabah – Hajiji

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, yang mahu kemiskinan tegar di Sabah, dinoktahkan sebelum akhir Julai tahun ini, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri Sabah (MAFFI) diarah memberi keutamaan terhadap golongan miskin tegar dalam pelan tindakan dan program yang dilaksanakannya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberikan arahan itu bagi memastikan MAFFI tidak melupakan golongan miskin sebagai inisiatif untuk membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

FOTO: JKM Sabah

“Di bawah data eKasih sehingga 18 Mei tahun ini, ketua isi rumah miskin tegar di Sabah turun kepada 8,699. Saya mahu lebih banyak inisiatif di bawah MAFFI akan membabitkan mereka (miskin tegar).

“Kita mahu pastikan mereka dikeluarkan daripada kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan kerja ke MAFFI di Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Berdasarkan taklimat empat jabatan dan empat agensi di bawah MAFFI, Datuk Seri Hajiji berkata, ketika ini sudah ada perancangan untuk menggalakkan perkembangan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.

Menurutnya paling penting Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang diluluskan baru-baru ini mesti dilaksanakan segera dalam usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) makanan Sabah.

Datuk Seri Hajiji juga mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai tanah tidak digunakan supaya dibangunkan untuk pertanian, khususnya padi seperti diberi mandat oleh Kabinet negeri.

Dalam hal itu, katanya MAFFI boleh menyediakan bimbingan dan sumber yang diperlukan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kemiskinan tegar di Sabah, dinoktahkan sebelum akhir Julai tahun ini.

Beliau yang memberi keutamaan kepada usaha menoktahkan kemiskinan khususnya di Sabah, yakin sasaran tersebut mampu dicapai berikutan bilangan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar di negeri itu menurun daripada 20,000 kepada 9,000, setakat ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini