RABAT: Kementerian Kesihatan Maghribi mengumumkan bahawa persidangan antarabangsa mengenai kesihatan awam, yang dijadualkan di negara itu pada November depan, ditangguhkan kerana kebimbangan terhadap wabak mpox atau cacar monyet.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa keputusan untuk menangguhkan Persidangan Kesihatan Awam Antarabangsa ke-4 dibuat berikutan permintaan rasmi daripada Ketua Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Afrika), Jean Kaseya.
Kaseya menekankan keutamaan mengawal krisis mpox memerlukan kerjasama antarabangsa yang meluas.
Dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan Maghribi, Khalid Ait Taleb, Kaseya menekankan cabaran kesihatan serius yang dihadapi benua Afrika akibat kes mpox, termasuk kes pertama yang dilaporkan di Maghribi.
Kenyataan daripada Kementerian Kesihatan Maghribi tidak menyatakan tarikh baharu untuk persidangan itu.
Menurut data CDC Afrika, Afrika merekodkan lebih 26,000 kes mpox yang disyaki dan 724 kematian tahun ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa susulan kemunculan varian clade 1 baharu di beberapa negara Afrika. – BERNAMA-ANADOLU
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.