comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahasiswa Program Sulung 2.0 UPSI perlu tingkat keterampilan hadapi cabaran global

Antara pelajar penerima Program Siswa Sulung 2.0 UPSI menerima replika cek pembiayaan pendidikan daripada Prof Md Amin – Foto Ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dengan Program Siswa Sulung 2.0 disaran meningkatkan keterampilan dalam tiga aspek bagi menghadapi cabaran kehidupan selepas bergraduat.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  berharap semua mahasiswa di bawah program berkenaan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa termasuk bahasa antarabangsa bagi menyerlahkan keterampilan mereka.

Berucap merasmikan Majlis Siswa Sulung 2.0 di Dewan Banquet, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah baru-baru ini, beliau berkata mereka juga perlu menjadi benteng hadapan fakulti dalam menyerlahkan peranan kesukarelawanan sehingga menjulang nama fakulti masing-masing.

Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama mahasiswa penerima Program Siswa Sulung 2.0 UPSI

“Saya juga inginkan mahasiswa program ini menguasai pelbagai kemahiran seperti yang didedahkan oleh universiti sepanjang pengajian mereka,’ katanya.

Majlis anjuran Seksyen Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar (SKPP) Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) itu menyaksikan seramai 116 mahasiswa yang kesemuanya dari kategori B40 menerima replika cek sumbangan pembiayaan pendidikan untuk menampung pengajian mereka.

Prof Datuk Dr Md Amin berkata mahasiswa yang menerima pembiayaan setiap semester itu bukan menjadi sesuatu hak, tetapi amanah yang istimewa diberikan oleh Allah SWT ketika orang lain tidak memperolehinya.

“Mahasiswa Program Sulung 2.0 mendapat manfaat pengecualian lima jenis yuran sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi universiti mengikut semester masing-masing yang berbeza dengan julat pembiayaan di antara RM72,000 sehingga RM90,000 mengikut bidang pengajian bagi keseluruhan 116 pelajar program Sulung 2.0”, katanya.

Beliau berkata iltizam Program Sulung bermula pada tahun 2022 hasil cetusan idea mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad yang melihat akan pentingnya anak-anak yang sulung dalam keluarga yang pertama masuk ke universiti yang berstatus B40.

UPSI adalah antara lapan buah universiti awam yang terpilih untuk melaksanakan program Siswa Sulung di Malaysia demi kebajikan mahasiswa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini