Tumpuan :
Nasional

Mahasiswa UPSI kreatif dan inovatif perkasakan pendidikan bahasa Tamil

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami serta pengurusan tertinggi UPSI bergambar bersama para pemenang Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025 di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI

TANJUNG MALIM: Program Pertandingan Inovasi Bahasa Tamil 2025 memberi peluang kepada seramai 115 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperlihatkan semangat tinggi dalam bidang pendidikan bahasa Tamil, sekali gus membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan dan inovasi dalam memperkasa bahasa tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami, pertandingan seumpamanya adalah penting dalam melahirkan lebih ramai inovator yang tidak hanya kreatif dalam bidang bahasa, tetapi juga mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

“Saya sangat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh peserta yang membuktikan bahawa sebagai negara yang berbilang kaum, kita sentiasa berusaha untuk memelihara dan memperkasa bahasa-bahasa pelbagai etnik, terutamanya Bahasa Tamil yang kaya dengan sejarah dan budaya.

“Saya percaya, inisiatif ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak idea dan inovasi yang akan membantu memajukan bahasa Tamil, terutamanya dalam dunia pendidikan global,” katanya.

Katanya, sebagai sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian budaya, kita perlu terus memperkasa dan memberi pengiktirafan kepada bahasa-bahasa yang ada di Malaysia.

“Bahasa Tamil bukan sahaja penting sebagai bahasa komunikasi, tetapi ia juga mengandungi nilai sejarah yang mendalam, ” katanya.

Saraswathy berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Inovasi Bahasa Tamil di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI anjuran Persatuan Bahasa Tamil UPSI, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, pertandingan inovasi pendidikan merupakan salah satu elemen penting dalam menangani cabaran global.

Beliau turut mengiktiraf usaha Persatuan Bahasa Tamil, yang menjadi badan pelajar pertama pada tahun 2025 menganjurkan pertandingan inovasi pendidikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini