comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahkamah Agung Belanda tolak rayuan pihak Sulu, kemenangan mutlak buat Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperoleh kemenangan akhir yang penting hari ini apabila Mahkamah Agung Belanda menolak rayuan difailkan pihak Sulu terhadap Malaysia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata keputusan Mahkamah Agung Belanda itu sekali gus menamatkan cubaan pihak yang menuntut itu untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda.

“Keputusan luar biasa Mahkamah Agung Belanda ini menyokong keputusan dibuat Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun 2023.“(Keputusan dibuat Mahkamah Rayuan The Hague) mengangkat usaha Malaysia mencabar permohonan pihak yang menuntut itu di Belanda bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ diberikan Dr Gonzalo Stampa di Paris pada 28 Februari 2022,” katanya melalui muat naik di Facebook, hari ini.

Melalui Final Award itu, Stampa selaku penimbang tara Sepanyol yang secara kontroversi mengarahkan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM70.19 bilion) kepada pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Lapan warga Filipina yang mendakwa waris Kesultanan Sulu juga dilaporkan cuba menyita aset syarikat minyak negara Petronas di Luxembourg dan Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Stampa didapati bersalah kerana menghina mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Mahkamah Sepanyol melarang Stampa daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun.

Malaysia memfailkan aduan terhadap Stampa bersama-sama Pendakwa Raya Sepanyol atas alasan beliau menghina mahkamah apabila berulang kali mengingkari perintah Mahkamah Tinggi Sepanyol dan meneruskan tindakannya berhubung Award Akhir di negara lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini