comscore
Tumpuan :
Nasional

MAIS Peruntuk RM2 Juta Usaha Tangani Masalah Mental

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sejumlah RM2.01 juta melalui peruntukan asnaf riqab bagi membantu pesakit mental melalui operasi Rumah Pemulihan Riqab yang berdaftar dengan majlis berkenaan.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata peruntukan itu adalah bagi membantu mereka kembali pulih seperti sedia kala dan menjalani kehidupan sebagai insan normal.

“Seramai 134 pesakit mental sudah MAIS santuni di negeri ini sehingga September lalu menerusi latihan dan kursus di beberapa Rumah Pemulihan Riqab yang berdaftar dengan MAIS menerusi kerjasama Mental Health Foundation.

“Khidmat kaunseling yang betul dan selaras dengan kehendak syarak juga memainkan peranan penting dalam membantu isu kesihatan mental tanpa berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Simposium Kesihatan Mental Dalam Perspektif Islam dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan di Cyberjaya, semalam.

Hadir sama, anggota MAIS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Riqab Selangor, Tan Sri Hashim Meon; Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS Nurhani Salwa Jamaluddin dan Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ustaz Suhaimi Ismail.

Program disertai 200 peserta yang terdiri daripada wakil Rumah Pemulihan Riqab, Mental Health Foundation, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan JAKIM.

Simposium itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta dan masyarakat berhubung isu kesihatan mental. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini