comscore
Tumpuan :
Nasional

MAIS Tawar Perlindungan Di Rumah Riqab

Antara pelatih Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Selangor.

SABAK BERNAM: Jumlah pelatih di dua rumah perlindungan Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menunjukkan trend penurunan sejak dua tahun lalu.

Timbalan Setiausaha (Operasi) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Nurhani Salwa Jamaluddin, berkata dua rumah perlindungan terbabit adalah Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam dan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Ulu Yam.

Beliau berkata, antara faktor penurunan pelatih ketika itu disebabkan penghantaran yang terbatas ekoran penularan wabak COVID-19.

“Beberapa pendekatan dilakukan bagi memastikan mereka yang terjebak dengan masalah sosial dan akidah diberi bimbingan dan pemulihan.

“Mereka yang dibelenggu masalah sosial dan akidah boleh datang terus ke pusat perlindungan itu untuk mendapatkan pemulihan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Pelatih Baitul Ehsan, di sini, hari ini.

Memberi contoh, Nurhani Salwa berkata, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan berjaya menguruskan seramai 1,700 pelatih sejak penubuhannya pada 2001.

“Tahun ini saja, Mais memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membantu tiga rumah Riqab di bawah kendaliannya, termasuk 27 Badan Bukan Kerajaan Islam (NGO-i) di seluruh Selangor.

“Sebanyak RM2.4 juta diagihkan ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan untuk kos mengurus dan operasi di rumah Riqab itu,” katanya.

Pada masa sama, Nurhani Salwa berkata, MAIS sedia menawarkan rumah perlindungan kepada asnaf ar-Riqab dari negeri lain untuk mendapatkan pemulihan di pusat perlindungan disediakan.

Menurutnya, ketika ini pelatih dari Terengganu menghantar wanita yang terjebak dengan gejala sosial dan akidah ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

“Mais juga sedang merangka kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk menempatkan pelatih dari negeri terbabit.

“Selain itu, kami juga menawarkan rakan strategik kami antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi peluang kedua kepada mereka di luar sana untuk berubah kepada kehidupan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, rumah Riqab Mais menyusun dan melaksanakan pelbagai program pemulihan seperti kelas fardu ain, kelas kemahiran, kelas pengajian al-Quran, dan usrah.

“Selain itu, program pembentukan sahsiah diri pelatih meliputi program akidah, ibadah, kaunseling dan kekuatan jati diri,” katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini