comscore
Tumpuan :
Nasional

MAIWP sumbang RM3 juta kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang

FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan masing-masing RM1 juta kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi membantu mangsa banjir yang terjejas akibat musibah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, berkata tiga negeri terbabit adalah yang paling teruk terjejas banjir dan sumbangan berjumlah RM3 juta itu bagi meringankan beban mangsa banjir kerana bah yang berlaku tahun ini lebih buruk berbanding biasa.

Penempatan yang sebelum ini bebas banjir turut terkesan sama sehingga menyebabkan banyak rumah mengalami kerosakan, selain harta benda turut musnah.

“Alhamdulillah, sumbangan daripada pembayar zakat ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mangsa dan pada masa sama, bantuan zakat melalui MAIWP dapat membantu meringankan beban pihak kerajaan,” katanya selepas Program MAIWP INSANI Misi Bantuan Banjir Kelantan di pekarangan Masjid Beijing, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia, Khairuzzaman Mohammad dan Pengurus Agihan Zakat MAIWP, Ahmad Talmizi Yahaya.

Seramai 400 penerima menerima sumbangan dan barang keperluan asas.

Media sebelum ini melaporkan, MAIWP memperuntukkan RM6 juta bagi membantu mangsa banjir khususnya di negeri Pantai Timur.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM1 juta disalurkan masing-masing kepada Majlis Agama Islam Negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, hasil sumbangan diberikan adalah daripada wang pembayar zakat di Wilayah Persekutuan.

“Kita bersyukur nikmat diterima ini boleh dikongsi bersama masyarakat atau rakyat negeri yang terjejas banjir.

“Justeru, saya menyeru masyarakat tampil membayar zakat kepada PPZ melalui MAIWP supaya ia dapat disalurkan kepada golongan asnaf yang memerlukan ketika ditimpa bencana,” katanya.

Loading...
Terkini