comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Majikan boleh kena tindakan arah pekerja ambil cuti, potong gaji

BUTTERWORTH: Majikan yang memaksa pekerja mengambil cuti atau memotong gaji susulan henti operasi sementara berikutan gangguan bekalan air di negeri ini mulai 10 Januari ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pekerja 1955.

Sehubungan itu, pekerja boleh mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan selanjutnya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, majikan juga boleh merujuk JTK untuk mendapatkan nasihat serta panduan sebelum mengambil sebarang keputusan berkaitan tindakan susulan akibat gangguan bekalan air itu.

“Apa yang penting, majikan tidak boleh paksa pekerja ambil cuti atau potong gaji mereka sewenang-wenangnya.

“Sekiranya didapati ada majikan gagal mematuhi peraturan ditetapkan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pekerja 1955,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung dakwaan pekerja di sektor perkilangan diminta menggunakan cuti tahunan atas alasan kilang menghentikan operasi sementara akibat gangguan bekalan air.

Akta Pekerja 1955 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 jika majikan didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Terdahulu, beliau ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pada majlis sama seramai 10 pencarum menerima pelbagai faedah antaranya hilang upaya kekal serta pencen ilat.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kebanyakan pengilang khususnya dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka menghentikan operasi mereka untuk sekurang-kurangnya dua hari susulan gangguan bekalan air mulai 10 hingga 14 Januari ini.

Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang Datuk Seri Lee Teong Li dilaporkan berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana kebanyakan kilang memerlukan penggunaan air yang banyak dalam operasi harian masing-masing.

Loading...
Terkini