comscore
Tumpuan :
Nasional

Majikan diberi hingga hujung tahun, sedia penginapan berpusat untuk pekerja asing

FOTO: J. Arul Kumar/ Facebook

SEREMBAN: Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk majikan menyediakan penginapan pekerja berpusat (CLQ) kepada tenaga kerja asing dan memindahkan mereka ke penempatan yang diwujudkan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, ia sebahagian daripada langkah pemutihan yang akan dilaksanakan membabitkan kediaman di kawasan perumahan yang digunakan sebagai penginapan pekerja asing.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selaras pendirian kerajaan negeri untuk tidak membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman.

“Kita berikan tempoh sehingga hujung tahun ini untuk setiap majikan menyediakan CLQ dan kemudian memindahkan pekerja berkenaan ke CLQ yang diwujudkan itu.

“Melalui (tindakan pemutihan ini) Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan mengeluarkan perakuan bagi membolehkan pekerja asing terus menginap di kediaman sedia ada buat sementara sehingga hujung tahun ini,” katanya selepas melakukan lawatan ke CLQ di Nilai hari ini.

Mengulas lanjut, beliau Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai berkata, majikan perlu mewujudkan CLQ dengan mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JTK.

“CLQ ini mestilah suatu kawasan yang berpagar dan dapat dikawal serta mempunyai semua kemudahan asas kepada pekerja warga asing.

“Ini akan menjamin hak setiap pekerja warga asing terbabit mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini