comscore
Tumpuan :
Nasional

Majikan lindung tukang jahit warga asing

Foto: JIM

SUNGAI PETANI: Taktik pemilik sebuah syarikat memasang kamera rakaman litar tertutup (CCTV) untuk melindungi tukang jahit yang kebanyakannya warga asing akhirnya terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, semalam.

Serbuan dilakukan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sekitar daerah ini.

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, pihaknya menahan 16 warga Pakistan yang sedang menjahit di dalam premis tiga tingkat premis berkenaan.

“Ketika serbuan, kumpulan warga asing terbabit sedang menjahit. Mereka berusia 21 hingga 49 tahun.

“Di luar premis, kelihatan seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan selain kurang dikunjungi. Namun, hasil risikan mendapati, kesemua warga asing ini tidak keluar dan akan memasak serta tidur di dalam premis berkenaan.

“Majikan akan datang pada setiap pagi bagi memantau tugasan mereka,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Mohd Ridzzuan berkata, ketika diserbu, warga asing terbabit juga enggan membuka pintu premis sebelum ia berjaya diumpil.

“Hasil maklumat awal, kesemua premis di kawasan berkenaan dimiliki warga tempatan dan di ‘alibabakan’ kepada warga asing,” katanya.

Tambahnya, premis yang menggajikan tukang jahit warga asing terbabit turut menerima tempahan daripada pengusaha tekstil selain pelanggan tetap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen pengenalan diri sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini