comscore
Tumpuan :
Nasional

Majikan, pekerja perlu bersedia hadapi pengaruh trend mega di tempat kerja

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar menyerahkan geran penyelidikan kepada wakil UiTM Dr Ismaniza Ismail. Dari kiri Setiausaha Eksekutif NIOSH Mej (B) Hanif Maidin, Pengarah Eksekutif NIOSH Ayop Salleh, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO John Riba Marin dan Ketua Pegawai Eksekutif NIOSH Certification Syamsul Zaharin Zainuddin.

KUALA LUMPUR: Majikan dan pekerja perlu membuat persediaan secukupnya dari sudut keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi menghadapi perubahan yang akan berlaku di tempat kerja akibat pengaruh beberapa trend mega (megatrends) dalam tempoh terdekat.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata pekerjaan di masa hadapan akan lebih terfokus pada teknologi yang mungkin akan mengambil alih fungsi manusia serta memberi kesan bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga mental.

“Para pakar berpendapat antara trend mega utama ini adalah perubahan iklim, revolusi teknologi, perubahan demografi akibat penuaan global, proses urbanisasi, ketidakstabilan geopolitik serta peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mental, hak asasi manusia dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2023 (COSH 2023) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2023 (SCICOSH 2023) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convex) hari ini.

Anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), program COSH 2023 dan SciCOSH 2023 akan diadakan secara serentak di KL Convex pada 1 dan 2 Nov 2023.

Bagi membantu majikan berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu ini, Sivakumar berkata Kementerian Sumber Manusia menerusi agensi-agensinya termasuk NIOSH telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk program intervensi untuk menangani perubahan cara kerja termasuk isu kesihatan mental di tempat kerja di bawah program yang dikenali sebagai “Employee Assistance Program” (EAP).

Menurut beliau, program EAP ini dapat membantu majikan mengenalpasti risiko psikososial di tempat kerja, seperti mana diperuntukan mengikut Seksyen 4 (c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, agar mereka boleh menyediakan pelan intervensi bagi menangani masalah tersebut di peringkat awal.

Beliau turut berkata penganjuran COSH 2023 dan SciCOSH 2033 dengan tema “The Future of Work” atau “Masa Depan Kerja” amat bertepatan kerana negara sedang berhadapan dengan perubahan trend “kerja” (work) dan “pekerjaan” (jobs) ke arah ekonomi digital dan automasi.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar meletakkan kad akses di atas pad pelancaran COSH 2023 dan SciCOSH 2023. Dari kiri Setiausaha Eksekutif NIOSH Mej (B) Hanif Maidin, Pengarah Eksekutif NIOSH Ayop Salleh, Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO John Riba Marin dan Ketua Pegawai Eksekutif NIOSH Certification Syamsul Zaharin Zainuddin.

“Perkongsian maklumat oleh pakar-pakar KKP dan pameran teknologi yang dilaksanakan di program COSH 2023 dan SciCOSH 2023 nanti akan memberi peluang kepada para peserta dan pengunjung untuk memahami cabaran KKP serta penyelesaian terbaik yang boleh dilaksanakan.

“Inisiatif sedemikian juga selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasa tenaga kerja negara bertepatan dengan keenam-enam ciri Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Eksekutif NIOSH Ayop Salleh dalam ucapannya berkata
penganjuran COSH 2023 dan SciCOSH 2023 menyediakan pentas lebih besar untuk peserta dan pengunjung bertemu  serta bertukar-tukar fikiran selain memberi peluang kepada agensi dan syarikat  menyertai sesi “business matching” yang disediakan di ruangan khas pameran.

Beliau berkata cabaran baharu bukan sahaja melibatkan aspek fizikal KKP tetapi turut melibatkan bahan kimia, biologi, ergonomik dan sikososial seperti stress dan kemurungan yang semakin meningkat dalam persekitaran kerja yang berbeza ini.

Pada majlis itu, Sivakumar turut menyerahkan geran penyelidikan NIOSH bernilai RM 425,388 kepada lima institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan bagi menjalankan penyelidikan di dalam pelbagai bidang KKP.

Turut diserahkan sijil  International Organization for Standardization (ISO) kepada enam agensi dan syarikat yang telah berjaya mendapatkan pensijilan ISO menerusi anak syarikat NIOSH iaitu, NIOSH Certification.

Loading...
Terkini