comscore
Tumpuan :
Nasional

Majlis Raja-Raja seru kerajaan perkukuh prinsip Rukun Negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Raja-raja Melayu berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mendukung dan memperkukuhkan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Baginda bertitah semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara hendaklah seharusnya menjadi amalan serta pegangan semua rakyat dan bukan sekadar tulisan dalam bahan bacaan saja.

“Sehubungan itu, Beta mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam majlis-majlis yang bersesuaian.

“Lafaz ikrar Rukun Negara juga hendaklah diketuai pemimpin yang dilantik dan bukan lagi dari kalangan belia yang bersuara lantang.

“Ini akan membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia,” titah baginda dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-26 di Istana Negara, yang berakhir hari ini.

Tuanku Muhriz mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-26 yang bermula semalam hingga.

Turut berangkat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berangkat sama, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sementara Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat itu juga turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut sama hadir ke Istana Negara bagi menyertai mesyuarat itu.

Tuanku Muhriz bertitah, dua daripada lima prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang amatlah penting untuk memastikan agensi penguatkuasaan dan Badan Kehakiman bebas daripada sebarang pengaruh luar dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Loading...
Terkini