IPOH: Majoriti daripada 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Perak yang diselamatkan menerusi Op Global sudah dituntut keluarga.
Tanpa mendedahkan angka secara terperinci, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, bagaimanapun, ketika ini, proses tuntutan masih berlaku dengan ia juga tertakluk kepada hasil siasatan polis.
“Apa juga tindakan kita, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lakukan semuanya berdasarkan apa yang sudah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) lakukan siasatan dan sebagainya. Proses-proses itu (tuntutan) masih berlaku.
“Saya tiada angka yang tepat secara spesifik, tetapi ya, kebanyakannya sudah dituntut keluarga. Ia, masih ada berapa proses yang kita bergantung kepada siasatan pihak PDRM.
“Peranan JKM secara spesifiknya ialah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kita melindungi kanak-kanak melalui siasatan yang dibuat, jadi itulah saja yang saya boleh beritahu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sejahtera Warga Emas Negeri Perak 2024 di Galasa Caldwell, di sini petang tadi.
Salbiah berkata, hanya 55 kanak-kanak yang sebelum ini dilapor diselamatkan dan tiada pertambahan.
“Setakat ini, kita tiada jumlah tambahan kanak-kanak, (jumlah) itu (55) sahaja,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan semua 55 kanak-kanak yang diselamatkan kerana dikenal pasti mempunyai kaitan dengan GISBH di Perak ditempatkan di pusat jagaan di bawah JKM.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilapor berkata seramai 136 kanak-kanak GISBH yang masih belum dituntut keluarga, kini ditempatkan di sembilan institusi JKM.
Dilapor, kanak-kanak yang masih di institusi JKM sudah dikenal pasti identiti, dan dalam proses menunggu perintah interim untuk serahan keluarga mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 atau Orang Layak Dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam perkembangan lain, Salbiah berkata bayi lelaki yang ditemukan masih bertali pusat dalam semak di belakang surau di Kampung Permatang, Sitiawan, Manjung, Sabtu lalu kini masih dirawat di hospital sementara menunggu mendapatkan perintah mahkamah bagi ditempatkan di pusat jagaan JKM.
Katanya, JKM bertindak memberi perlindungan kepada bayi terbabit termasuk dengan mendaftarkan kelahirannya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk perolehan sijil lahir sementara menunggu untuk ditempatkan di rumah perlindungan JKM selepas selesai rawatan di hospital.
“Kita merujuk kepada Seksyen 17 Akta Kanak-kanak 200 yang mana kita perlu beri perlindungan kepada kanak-kanak.
“(Mengenai) siasatan kes kita serahkan kepada pihak polis, namun mereka di bawah jagaan JKM untuk diberikan perlindungan, kita daftarkan kanak-kanak itu dengan JPN untuk sijil lahir dan tempatkan mereka di rumah perlindungan selamat bawah JKM.
“Sekarang bayi itu masih lagi di hospital, dan apabila keadannya sudah stabil dan sihat kita akan dapatkan perintah mahkamah untuk menempatkannya di pusat jagaan JKM,” katanya.
Ahad lalu, seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dan masih bertali pusat ditemukan dalam semak seorang ahli jawatankuasa surau yang terdengar bunyi tangisan bayi terbabit ketika sedang membersihkan persekitaran surau itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.