comscore
Tumpuan :
Nasional

Maklum kepada universiti jika mahasiswa terjejas banjir – Zambry

Zambry menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital (eDOLA) ke-12 2024 di Kementerian Pendidikan Tinggi malam tadi. – FOTO: Politeknik Kolej Komuniti/ Fcaebook

PUTRAJAYA: Mahasiswa yang terjejas akibat banjir perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan universiti masing-masing sebelum kembali ke pusat pengajian mereka, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, ia termasuk mahasiswa baharu yang akan memulakan pengajian mereka bagi membolehkan pihak berwajib mengambil langkah sewajarnya.

“Mereka perlu maklumkan kepada pihak universiti supaya bantuan dapat diberikan,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital CIDOS Inspiring Learning Awards ke-12 (eDOLA) di sini malam tadi.

Beliau menjawab pertanyaan pemberita sama ada mahasiswa di negeri terjejas banjir akan diberikan kelonggaran untuk mendaftar di kampus mengikut tarikh ketetapan universiti masing-masing.

Zambry turut memaklumkan setakat ini hanya mahasiswa yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Mahkota diberi kelonggaran untuk mendaftar lewat ke universiti awam masing-masing hingga 29 September ini.

“… jadi kita bagi kelonggaran sedikit kepada mereka. Yang lain kekal pada tarikh ditetapkan oleh universiti untuk mereka mendaftar,” kata Zambry.

Program eDOLA yang berlangsung dua hari bermula semalam adalah antara usaha membawa teknologi pendidikan berasaskan kecerdasan buatan (AI) kepada pelajar dan pensyarah di politeknik serta kolej komuniti.

Pada majlis itu, Zambry turut melancarkan ‘POLYCC Artificial Intelligence Reform Agenda’ yang memberi penekanan kepada pemantapan pendigitalan pendidikan dan selari dengan ledakan teknologi baharu yang akan digunakan di kolej komuniti serta politeknik. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini