comscore
Tumpuan :
Nasional

Maklumat tidak tepat di media sosial mampu cetus andaian buruk

KUALA LUMPUR: Maklumat tanpa kawalan dan tidak tepat yang disebarkan di media sosial mampu mengundang persepsi buruk terhadap sesuatu isu sehingga mencetuskan rusuhan.

Felo Majlis Prof Negara dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan, berkata justeru, mereka yang berkongsi maklumat di platform berkenaan sepatutnya lebih bertanggungjawab.

Katanya, mereka perlu dengan segera menurunkan hantaran atau membetulkan keadaan jika mendapati maklumat yang dikongsi tidak tepat.

“Seperti mana siri rusuhan di beberapa bandar di United Kingdom (UK) yang secara khusus menyasarkan masyarakat Islam. Apabila maklumat benar lambat disebarkan, ia dianggap sudah terlambat kerana rusuhan sudah tercetus.

“Ditambah tindakan kerajaan UK yang lambat mendedahkan pelaku sebenar serangan itu berikutan kekangan perundangan, sifat anti perkauman atau kita tak payah ‘bersembunyi’ lagi iaitu sifat anti Islam ini terus meledak.

“Walaupun kerajaan UK mempunyai kawalan media sosial yang ketat sejak tiga tahun lalu berbanding Singapura atau Indonesia umpamanya, akibat kelewatan dalam bertindak, semuanya sudah terlambat,” katanya dalam Podcast Borak Harini bertajuk ‘Percik api berita palsu media sosial ‘bakar’ UK: Apa boleh kita belajar?’, di sini, hari ini.

Rusuhan yang berlaku di UK yang menyebabkan hampir 400 orang ditahan, manakala 100 lagi sudah didakwa terjadi selepas tiga kanak-kanak perempuan terbunuh dalam kelas tarian bertemakan Taylor Swift di Southport, barat laut England.

Khabar angin pada mulanya tersebar di media sosial mendakwa penyerang itu adalah seorang muslim pencari suaka.

Suspek kemudian dikenali sebagai Axel Rudakubana, 17 tahun, dilahirkan di Wales.

Media UK melaporkan bahawa ibu bapanya berasal dari Rwanda.

Azmi berkata, walaupun dasar pendatang di UK begitu fleksibel dan menerima masuk pendatang yang kebanyakannya dari negara-negara Afrika dan Asia Selatan, sifat anti perkauman memang sudah ada.

“Mereka mungkin mengatakan bahawa mereka bukan anti perkauman dan itu mungkin 20 tahun yang lalu, tetapi kini geopolitik dunia sudah berubah dan perasaan anti pendatang itu sudah meresap dalam jiwa.

“Lihat saja kempen Donald Trump antaranya ialah anti pendatang yang dilaung-laungkannya. Jadi boleh dikatakan sifat anti pendatang itu sudah ada dan insiden tikam di Southport, pada 29 Julai lalu hanyalah sebagai ‘peledak’ untuk mencetuskan perasaan amuk terhadap mereka yang tidak berdosa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini