Tumpuan :
Nasional

Malaysia akan terus salur bantuan kepada rakyat Palestin yang cedera, teliti mekanisme lebih efektif

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Kaherah, Mesir, semalam.

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis, dengan meneliti mekanisme yang lebih efektif serta kos yang tidak terlalu tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi membolehkan mereka menerima rawatan lebih baik.

“Sekarang ini kita bincang dari segi keperluan untuk membantu, tetapi jika ada keupayaan hospital-hospital di negara Arab seperti Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Turkiye, lebih baik kita salurkan ke sana dengan sedikit bantuan kita.

“Saya fikir dari segi pengurusan lebih baik. Jadi sedang dibincangkan dengan Kementerian Pertahanan mengenai hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya di Mesir, semalam.

Ujarnya, apa jua keputusan yang diambil, Mesir akan terus memberi laluan kepada Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang cedera.

4 Ogos lalu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memudahkan rawatan untuk rakyat Palestin yang cedera, khususnya wanita dan kanak-kanak, dengan membawa mereka ke negara ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 16 Ogos lalu, telah membawa 41 rakyat Palestin yang cedera bersama 86 ahli keluarga mereka ke Malaysia.

Mereka telah dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini