comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Bangladesh bincang isu kos, gaji, keselamatan dan kebajikan pekerja asing

Saifuddin Nasution (kanan) bersama Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Asaduzzaman Khan. – Foto FB

KUALA LUMPUR: Kos yang sangat tinggi dan proses bagi urusan membawa masuk tenaga kerja dari Bangladesh antara isu yang dibangkitkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada pertemuannya dengan wakil kerajaan Bangladesh dalam lawatan ke negara itu, hujung minggu lalu.

Dalam lawatan dua hari itu, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Asaduzzaman Khan serta Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara, Imran Ahmad, selain pihak industri.

“Saya bersama delegasi kerajaan Malaysia berada di Bangladesh pada 4 dan 5 Februari lalu, khusus bagi membincangkan isu penggajian pekerja asing dari Bangladesh ke Malaysia.

“Beberapa pertemuan diatur juga melibatkan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara serta Menteri Dalam Negeri dan pihak industri.

“Asas perbincangan dengan kedua-dua menteri Bangladesh menjurus kepada hasrat kerajaan melonggarkan syarat bagi mempermudahkan urusan penggajian pekerja asing di Malaysia.

“Antara perkara yang disentuh melibatkan kos yang sangat tinggi bagi membawa masuk tenaga kerja serta beberapa proses lain yang akan ditambah baik,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook, hari ini.

Saifuddin Nasution (kiri) bertemu Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmad dalam lawatannya ke negara itu, hujung minggu lalu. – Foto FB

Saifuddin Nasution memaklumkan, kedua-dua pihak juga bersetuju dan bersepakat dengan komitmen meletakkan aspek keselamatan serta perlindungan secara maksimum bagi menjamin kebajikan dan urusan penggajian berjalan dengan lancar dan baik.

“Sebagai antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Bangladesh pada 1971, Malaysia mengharapkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin ini terus diperkukuh demi manfaat kedua-dua negara, insya-Allah,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini