comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia Bawa Cadangan Resolusi Kesihatan Lebih Baik Pada WHO EB

 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Malaysia akan mencadangkan satu resolusi membabitkan sains tingkah laku untuk kesihatan yang lebih baik pada Sesi ke-152 Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO EB) dan Persidangan Kesihatan Sedunia ke-76 tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia secara khusus tertarik ke arah mengubah rakyat supaya lebih cenderung ke arah tingkah laku yang mahukan kesihatan.

Beliau berkata, perlunya ada perubahan terhadap sistem kesihatan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan untuk mengelakkan penyakit kronik yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.

“Tidak dinafikan sains tingkah laku menjadi bahagian penting kepada kejayaan rantau ini dalam mengawal virus COVID-19 dan mengurangkan beban penyakit.

“Berikutan itu, Malaysia berbangga mengumumkan kami akan mencadangkan satu kertas resolusi membabitkan Sains Tingkah Laku untuk Kesihatan Lebih Baik pada sesi ke-152 WHO EB pada Januari 2023 dan Persidangan Kesihatan Sedunia ke-76 pada Mei depan.

“Kami menyeru semua negara anggota untuk menyokong resolusi ini,” katanya ketika berucap pada Sesi ke-73 Mesyuarat Jawatankuasa Serantau untuk Pasifik Barat di Manila, Filipina, pagi ini.

Sesi itu dipengerusikan Menteri Kesihatan Laos, Dr Bounfeng Phoummalaysith.

Berkongsi pengalaman negara, Khairy berkata, Malaysia ketika ini merancang pembaharuan terhadap penjagaan kesihatan negara dan Kertas Putih Kesihatan yang dirangka turut membabitkan perubahan daripada model berorientasikan penyakit kepada pendekatan kesihatan yang berpaksikan manusia yang membabitkan kerjasama keseluruhan Kerajaan dan masyarakat.

Beliau berkata, semua pihak sedar bahawa kesihatan bergantung kepada banyak faktor luaran dari sempadan penjagaan kesihatan.

Katanya, penjagaan kesihatan tidak boleh berjaya jika ia bersendirian.

“Kita perlu mewujudkan keadaan sosioekonomi yang membolehkan orang ramai terus sihat, bermula daripada kemiskinan, pendidikan, perumahan, nutrisi, kesihatan alam sekeliling dan banyak lagi.

“Seruan ini selaras usaha kami mencapai Sasaran Pembangunan Mampan menjelang 2030,” katanya.

Khairy berkata, fokus Malaysia kini berubah untuk menggiatkan usaha ke arah mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ketika ini, katanya, Malaysia berdepan beban berganda isu kesihatan membabitkan penggunaan rokok biasa dan rokok elektronik dalam populasi negara.

Menangani isu berkenaan, beliau berkata, kerajaan sudah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 serta Generasi Penamat (GEG).

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia komited menangani beban kesihatan mental dalam masyarakat tatkala kekurangan kesedaran serta stigma menyelubunginya menghalang individu terkesan daripada mendapatkan bantuan, rawatan atau pertolongan.

Khairy berkata, pembukaan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) baru-baru ini bakal menyelaraskan tindakan awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membolehkan perkongsian sumber pakar kesihatan mental menterjemahkan hasil kajian bagi tujuan penggubalan dasar serta pembangunan program.

Justeru, beliau berkata, Malaysia berharap perbincangan dalam beberapa hari mendatang akan membuahkan hasil.

“Jangan kita mempersiakan pelajaran yang diperoleh daripada pandemik yang meletakkan kesihatan terkehadapan dalam agenda kerajaan dan kehidupan manusia.

“Masa untuk kesihatan buat semua adalah sekarang,” katanya.

Loading...
Terkini