Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Belanda tumpu kerjasama laksana projek rintis mitigasi banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada ucaptama Dialog Air Malaysia-Belanda kali Ketujuh di Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

Oleh: Suzila Idayu Yaacob

KUALA LUMPUR: Beberapa projek rintis akan dilaksanakan dalam usaha mempertingkatkan strategi pengurusan banjir dan ketahanan air negara, menerusi kerjasama dengan kerajaan Belanda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama dua hala dengan negara berkenaan akan menumpukan kepada langkah untuk mengurangkan risiko banjir dan memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia terhadap impak perubahan iklim.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Belanda yang telah menawarkan bantuan dalam menangani bencana air di bawah skim Dutch Surge Support (DSS). Kami menghargai dan mengalu-alukan cadangan-cadangan daripada laporan Pengurangan Risiko Bencana (DRR).

“Pada masa ini, bersama dengan rakan sejawat, kami sedang merancang untuk melaksanakan beberapa projek perintis hasil daripada kerjasama kami di bawah skim ini.

“Inisiatif-inisiatif ini direka untuk meningkatkan strategi pengurusan banjir di Malaysia, membantu kami mengurangkan dan mengurangkan risiko banjir sambil mengukuhkan kesiapsiagaan kami terhadap impak perubahan iklim pada masa hadapan,” katanya.

FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Dialog Air Malaysia-Belanda kali ketujuh bersama Duta Belanda ke Malaysia, Jacques Werner.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, keselamatan air semakin berisiko akibat impak perubahan iklim, mendorong kejadian ekstrem seperti kemarau, banjir dan corak cuaca yang tidak dapat diramal.

Justeru, ia penting untuk negara memastikan akses kepada sumber air yang bersih termasuk meningkatkan infrastruktur, semakan polisi, meneroka sumber air alternatif, pengurusan air bawah tanah dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini