Tumpuan :
Nasional

Malaysia beri jaminan terus sokong Afrika Selatan heret Israel ke ICJ

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Malaysia memberi jaminan akan terus menyokong Afrika Selatan dalam tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu diberikan beliau ketika mesyuarat dua hala bersama Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa di sela Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), di sini.

“Kita (Malaysia) mengambil pendirian untuk terus memberi jaminan bahawa kita menyokong inisiatif Afrika Selatan dalam membawa Israel ke ICJ. Kami akan terus menghantar wakil dari semasa ke semasa (mengikuti perbicaraan kes).

“Saya rasa Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Luar) hadir (ke ICJ) dan memberi kenyataan menyokong inisiatif Afrika Selatan
untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap Palestin dan terutama Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media akhir bersama media Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan sulung beliau ke Brazil dan menghadiri Sidang Kemuncak G20.

Mengulas lanjut, menurut Anwar, perbincangan bersama Ramaphosa iaitu sahabat lama beliau tertumpu pada usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang diplomasi, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, perbincangan dengan rakan sejawatnya dari United Kingdom, Keir Starmer berkisar kepada usaha meneruskan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang oleh kedua-dua negara.

“Beliau minta sangat saya hadir atau melawat ke United Kingdom, kita sedang kaji,” katanya.

Tambahnya, perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Phạm Minh Chính pula menyentuh mengenai ASEAN, terutamanya Grid Tenaga ASEAN dari negara terbabit melalui Semenanjung ke Singapura.

“Vietnam menyokong inisiatif ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini